BUAT PENGUNJUNG-PENGUNJUNG BLOG.....

BUAT PENGUNJUNG- PENGUNJUNG BLOG.....


Untuk makluman sahabat sahabiah yang baru mengunjungi blog ini, blog Al-Fatihah buat Mohd Fadhiri bin Rakiah (Mohamad Ariffin) dibuat setelah ahli bait solihin kami iaitu al-marhum Mohd Fadhiri kembali ke Rahmatullah pada 11/01/10.



Blog ini telah diwujudkan pada 14/01/10, iaitu 3 hari setelah arwah kembali ke Rahmatullah oleh Abang Khairu (abang sulung arwah).



Semoga tautan ukhwah Fillah yang terjalin antara sahabat sahabiah serta semua yang pernah mengenali al-marhum Mohd Fadhiri dapat kami sekeluarga sambung, insyaALLAH




- dari keluarga al-marhum Mohd Fadhiri bin Rakiah (Mohamad Ariffin) -



JOM PROMOSI


ASIF JIDDAN....


Assalamualaikum kepada semua pengunjung-pengunjung blog Al-Fatihah buat Mohd Fadhiri bin Rakiah (Mohamad Ariffin)



Semoga sentiasa dalam lindungan dan rahmah ALLAH...InsyaALLAH..Semoga sentiasa diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan sehari-hari hanya untuk mencapai redha ALLAH..


Asif jiddan, dah lama kaklong tak update blog, untuk berkongsi ilmu, Ini kerana kaklong sibuk kemaskini portal web Islam bersama adik Imi..Buat sementara waktu, bolehlah ziarah portal murabbi. Semoga mendapat sedikit sebanyak ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirah di portal web Islam tersebut....http://www.murabbi.net/

InsyaALLAH, setelah kaklong dah siap mengemaskini Portal murabbi, akan kaklong kembali mencoret di sini..InsyaALLAH


Pejuangan yang masih jauh selagi jasad terkandung dalam diri dalam menuju YA RABB. Hanya untuk mendapart redha ALLAH..insya ALLAH...;ALL THE BEST!!!...BI TAUFIQ WA NAJAH FI DUNNIA WA AKHIRAT ;)


PENGUMUMAN KHAS

PENGUMUMAN MAJLIS TAHLIL

Majlis Tahlil Hari Ke 100 Allahyarham Mohd Fadhiri bin Rakiah adalah pada tarikh
20/4/2010 (Selasa). Kemungkinan akan dibuat pada tarikh
22/4/2010 (Khamis). Insyaallah


Semua sahabat sahabiah serta semua yang mengenali arwah di jemput hadir. Kami sekeluarga sangat-sangat mengalukan kedatangan sahabat sahabiah semua



Wednesday, March 31, 2010

Semoga ALLAH memberkati usahamu wahai abg een..jangan putus asa..hanya untuk mendapat keredhaanNYA..Insyaallah..bi taufiq wa najah!!!!

p/s: kaklong tidak sempat mebuat sedikit tulisan, terlalu sibuk menyiapkan utk perjuangan esok..doakn kejayaan kaklong..;)insyaallah akan membuatnya nanti..

.....................................................................................



(Abe een..heheh..suka sgt amik gambar)



Pengorbanan pegawai JPN 15 hari di hutan


MIRI 30 Mac
- Secara purata 15 hari dalam sebulan berada di hutan belantara tanpa sebarang kemudahan yang sempurna bukanlah satu tugas yang mudah.

Tidak ramai yang sanggup menghadapinya apatah lagi banyak menggunakan kekuatan fizikal dan kemahiran menyesuaikan dengan alam untuk kekal selesa.

Tetapi itulah lumrah dan beban tugas yang dihadapi oleh Unit Khas Bergerak (UKB) Cawangan Miri dan Limbang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.

Ia ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah penduduk tanpa dokumen di pedalaman Sarawak dalam tempoh dua tahun.

Mereka beroperasi bersama-sama Mahkamah Bergerak Miri dalam usaha mencapai tujuan misi iaitu mendaftarkan sijil kelahiran dan MyKad kepada lebih 10,000 masyarakat Penan di daerah Baram agar mereka sama-sama mendapat keistimewaan seperti rakyat Malaysia yang lain.

Dan ia juga satu tugas yang berat untuk Mohd. Syafiee Mohamad Ariffin selaku ketua unit tersebut.

Berasal dari Kelantan, beliau mengakui tugas itu berat apatah lagi terpaksa berjauhan dengan kehidupan yang selesa di bandar.

"Pengorbanan unit kami ini sangat tinggi, ada yang demam, luka-luka ketika meredah hutan, kepenatan melampau dan sebagainya.

"Namun tanggungjawab yang diberikan akan tetap dilaksanakan mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia yang sama-sama mengikut operasi Pendaftaran Bergerak UKB Cawangan Miri dan Limbang ke Long Jekitan, Ba'Purau dan Long Mekaba di pedalaman Ulu Baram dekat sini baru-baru ini.

Mohd. Syafiee berkata, tugas itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental kerana ada kawasan yang memerlukan mereka berjalan kaki selama dua hari sebelum tiba ke destinasi.

Sebagai contoh, operasi di Ba'Purau memerlukan masa lapan jam berjalan kaki sebelum tiba ke perkampungan Penan tersebut, katanya.

"Bagaimanapun, ada kawasan perkampungan yang boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda seperti di Long Kevok. Namun ia mengambil masa 8 hingga 10 jam untuk sampai," kata beliau.

Walaupun mengakui adanya kelemahan dari segi logistik, namun semua arahan dan tanggungjawab yang diberikan akan ditunaikan tepat pada masanya, tegas Mohd. Syafiee.

Namun, beliau juga berharap jabatan-jabatan atau agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Imigresen dan Jabatan Kesihatan turut sama dalam misi yang mereka lakukan.

"Ini penting supaya mereka tahu situasi sebenar penduduk pedalaman dan dapat menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mereka yang rata-ratanya miskin," kata beliau



(Ketua Kampung Ba'Purau, Ding Usang (tengah berbaju petak) ketika membuat permohonan kelahiran dan MyKad di Baram, baru-baru ini)



(TURUN PADANG...Syafiee Mohamad Ariffin (duduk dua kiri) dan Majistret Muhamad Safuan (tiga kiri) semasa Operasi Pendaftaran Bergerak di Ba’ Purau. Kelihatan sama Ketua Kampung Ba’ Purau, Ding Usang (lima kiri, baju petak).


................................................................................

Misi membantu masyarakat Penan


MIRI 28 Mac - Lapan jam berjalan kaki serta mendaki lima bukit merupakan cabaran yang terpaksa dilalui jika mahu ke Ba'Purau, sebuah perkampungan separa nomad bagi masyarakat Penan di hutan Ulu Baram, iaitu sebuah kawasan pedalaman di Miri, Sarawak.

Tanpa kemudahan jalan yang sesuai menyebabkan penempatan itu terputus langsung perhubungannya dengan dunia luar.

Namun, itulah yang perlu diharungi pasukan Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Miri dan Limbang serta Mahkamah Bergerak Miri dalam usaha mendaftarkan masyarakat itu, baru-baru ini.

UKB JPN diketuai Mohd. Syafiee Mohamad Ariffin, manakala pasukan mahkamah itu diketuai Majistret Muhamad Safuan Azhar

Mahkamah Majistret Miri berfungsi sebagai pasukan sokongan kepada JPN kerana dengan bantuan institusi itu, borang yang diisi pemohon boleh diakui dengan serta-merta.

Ini kerana ada borang akuan yang perlu disahkan mahkamah sebelum ia dapat diproses dengan segera sekali gus menjadikan proses daerah Baram agar mereka sama-sama mendapat keistimewaan seperti rakyat Malaysia yang lain.

Pasukan UKB itu dibentuk selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan semua rakyat termasuk kaum minoriti di pedalaman mendapat hak sebagai warga Malaysia.

"Kita diberi masa dua tahun untuk menyelesaikan masalah penduduk Malaysia di pedalaman yang tiada dokumen langsung dan setahun untuk mereka yang mempunyai sijil lahir tetapi tidak memiliki MyKad," kata Mohd. Syafiee.

Penulis yang turut menyertai misi tersebut memulakan perjalanan bersama rombongan itu pada pukul 9 pagi, 28 Februari dengan menaiki bot dari Long Jekitan yang mengambil masa 45 minit ke perhentian yang seterusnya mula berjalan kaki ke Ba'Purau.

Long Jekitan terletak kira-kira lapan jam perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Miri melalui jalan balak.

Di perhentian itu, juru pandu daripada suku Penan telah sedia menanti untuk bersama-sama berjalan kaki ke Ba'Purau.

Keunikan juru pandu masyarakat Penan ialah mereka hanya berkaki ayam dan jangan ditanya tentang jarak dan masa kerana mereka akan berkata:

"Sekejap lagi akan sampai" atau "Dalam setengah jam lagi akan tiba di kampung".

Bagaimanapun, hakikatnya, ia adalah satu perjalanan yang panjang dan sangat menyeksakan diri.

Kebanyakan penduduk Penan di Ba'Purau mengamalkan pertanian sara diri iaitu dengan menanam padi huma di lereng-lereng bukit dan menjadikan hutan sebagai sumber makanan mereka.

Kebanyakan masyarakat Penan masih tinggal di pedalaman dan jumlah mereka yang masih mengamalkan cara hidup nomad iaitu berpindah-randah kian berkurangan.

Walaupun tiada angka yang tepat tetapi itulah dilakukan UKB untuk mendaftarkan mereka.

Dengan kekuatan empat pegawai, tiga pemandu, 14 kakitangan dan dua penterjemah, mereka meredah hutan dengan berjalan kaki tanpa mengenal penat lelah walaupun ia bukanlah tugas mudah dan penuh risiko.

Pengalaman penulis bersama mereka mendapati tugas itu amat memeritkan dan memerlukan kekuatan fizikal serta ketabahan.

Berjalan kaki untuk sejam pertama merupakan pengalaman yang menjerihkan dan berisiko apatah lagi untuk tujuh jam seterusnya.

Selain terpaksa meredah lereng-lereng bukit yang curam, rombongan itu juga terdedah kepada ancaman penyakit seperti malaria.


Bercerita dengan Mohd. Syafiee juga mendedahkan banyak pengalaman pahit manis dialami oleh pasukan tersebut.

Selain menempuh perjalanan yang sukar dan lasak, mereka juga pernah diancam rasa tidak puas hati daripada kalangan penduduk Penan.

Satu kes yang diberitahu ialah ada penduduk yang mabuk ketika menunggu proses pendaftaran menyebabkan kakitangannya bimbang mengenai faktor keselamatan.

Sehubungan itu, katanya, kali ini mereka membawa anggota polis supaya faktor keselamatan terjaga.

Ketua kampung juga memberi kerjasama dengan mengenakan denda RM500 kepada penduduk yang mabuk ketika proses pendaftaran dilakukan.

"Contohnya di Long Kevok, nyaris berlaku kekacauan kerana ada penduduk membawa parang ketika mendaftar, kebetulan pula dia sedang mabuk ketika itu," katanya yang tidak pernah rasa gentar kerana menganggap ia adalah asam garam semasa bertugas.

Selain kemungkinan timbul suasana tegang oleh penduduk, timbul juga beberapa situasi yang menggelikan hati.

Antaranya pemohon yang mempunyai tiga nama dan anak-anaknya pula lahir pada hari, bulan dan tahun yang sama sedangkan bukanlah anak kembar.

"Inilah asam garam yang kami lalui, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk membantu orang ulu seperti Penan, Kayan, Kenyah dan sebagainya.

"Lagipun inilah yang kerajaan mahukan supaya semua rakyat tidak kira di pedalaman atau di bandar tidak dinafikan hak mereka," jelas Muhamad Safuan.

Namun, tidak terkecuali ada juga warganegara asing yang mengambil kesempatan untuk menjadi warganegara Malaysia melalui perkahwinan dengan penduduk Penan.

Misalnya Muhamad Safuan memberitahu terdapat kes warganegara Indonesia yang berkahwin dengan penduduk tempatan mengaku sebagai penduduk asal dengan mengemukakan bukti yang tidak kukuh.

"Dari segi dialek percakapan sudah menunjukkan mereka bukan penduduk tempatan dan hanya mahu mengambil kesempatan untuk menikmati hak-hak sebagai rakyat Malaysia.

"Biasanya kes-kes sebegini kita akan meminta mereka membuat akuan bersumpah untuk mengelakkan pertikaian. Terdapat kes orang Pakistan mengaku penduduk asal," kata Muhamad Safuan.

Selain tekanan kerja, kesukaran hidup masyarakat Penan turut menginsafkan kakitangan terlibat kerana mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan serta terpencil.

Hutan adalah gedung rezeki mereka dan pergantungan terhadap alam semula jadi itu sangat tinggi iaitu tanpa hutan, mereka akan menjadi 'cacat dan hilang arah tujuan'.

Pengalaman memerhatikan gaya hidup mereka juga menyedihkan. Anak-anak kecil dibiarkan tidak berpakaian dan ada yang berkudis tanpa mendapat rawatan.

Anak-anak yang bersekolah pula terpaksa mengharungi enam hingga lapan jam berjalan kaki untuk ke sekolah rendah di Long Jekitan.

Bagi pendapat penulis, penduduk Penan yang separa nomadik itu tidak perlu dibawa keluar dari penempatan asal tetapi dipertingkatkan kemudahan infrastruktur untuk mereka.


Pujian sewajarnya diberikan kepada kakitangan UKB JPN cawangan Miri dan Limbang serta Mahkamah Majistret Miri kerana berganding bahu menyelesaikan proses pendaftaran masyarakat Penan.



(Majoriti kaum Penan kini memiliki kediaman tetap dan rumah mereka tidak lagi berlantaikan tanah dan buluh)


.....................................................................................


280 permohonan sijil kelahiran, MyKad selesai


KUCHING 8 Mac - Unit Khas Bergerak (UKB) Cawangan Miri dan Limbang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak berjaya menyelesaikan 280 permohonan kelahiran dan MyKad di tiga kawasan pedalaman di Ulu Baram.

Ketua Unitnya, Mohd. Syafiee Mohamad Ariffin berkata, permohonan itu membabitkan tiga kawasan pedalaman iaitu di Ba'Purau, Long Jekitan dan Long Mekaba dalam operasi selama lima hari.

Menurut beliau, antara permohonan yang diselesaikan membabitkan daftar lewat kelahiran, daftar lewat kad pengenalan, permohonan kad pengenalan untuk 12 tahun, gantian kad pengenalan, cabutan sijil lahir, daftar lewat kad pengenalan dan permohonan MyKad.

''Unit Khas Bergerak (UKB) ini menumpukan kepada kawasan pedalaman dan semua kawasan akan dijelajahi, tidak ada kawasan yang dikecualikan," katanya kepada Utusan Malaysia di Long Mekaba, Ulu Baram, Miri, baru-baru ini.

Operasi UKB tersebut bermula pada 1 Mac hingga 4 Mac di Ba' Purau, Long Jekitan dan Long Mekaba.

UKB ditubuhkan oleh JPN dalam usaha menangani isu rakyat yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau MyKad.

Pengarah JPN Sarawak, Datuk Abu Bakar Mat Januari lalu berkata, pihaknya telah menubuhkan beberapa lagi pasukan khas untuk ditempatkan di beberapa cawangan UKB di seluruh negeri bagi operasi berkenaan.

''Kalau semuanya berjalan dengan lancar dijangka bulan Februari nanti kita akan memulakan aktiviti bagi menangani isu tidak mempunyai dokumen peribadi bagi yang berkelayakkan sahaja atau mereka yang sudah mempunyai sijil lahir tetapi belum mempunyai MyKad.

''Petugas-petugas ini nanti akan berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dalam masa tempoh dua tahun," katanya.

Mohd. Syafiee berkata, pasukan mereka mengandungi 23 kakitangan termasuk pegawai dan diberi tempoh dua tahun menyelesaikan penduduk yang tidak mempunyai dokumen dan setahun untuk mereka yang ada sijil lahir tetapi tidak memiliki MyKad.

''Kita kali ini mengubah program pendaftaran yang tidak menumpukan kepada bandar, tetapi berpusat di kampung-kampung pedalaman Sarawak," kata beliau.

Katanya, selepas semua permohonan disiapkan, UKB JPN akan mengadakan operasi serahan MyKad dan surat beranak di kawasan-kawasan tersebut dalam tempoh tiga bulan sebelum diisytiharkan kawasan putih.

''Misalnya di Long Kevok yang kita adakan operasi pendaftaran pada bulan 12 lalu, pada bulan ini akan dibuat operasi serahan sebelum diumumkan sebagai kawasan putih.

Turut mengikut operasi tersebut, Unit Mahkamah Bergerak Miri yang diketuai Majistret Muhamad Safuan Azhar.

Muhamad Safuan berkata, pihaknya bertindak sebagai pasukan sokongan kepada JPN bagi mempercepatkan lagi permohonan penduduk pedalaman.

Katanya, tanpa peranan pihak mahkamah, proses melengkapkan permohonan menjadi lewat dan akan mengambil masa yang agak lama.

''Kita bersama-sama turun padang dan melengkapkan borang permohonan seperti surat beranak supaya apabila borang di bawa ke Miri, ia boleh terus diproses tanpa di bawa ke mahkamah lagi," kata beliau.

Beliau memberitahu, unit tersebut tidak ada di Semenanjung tetapi hanya ada di Sarawak dan Sabah dalam menangani isu penduduk tanpa MyKad dan surat beranak yang semakin kritikal



(Cara duduk ketika abg een bekerja seiras sangat dengan arwah fadhiri)


.....................................................................................


by kaklong, 31/03/10, 1250pm (15 Rabiulawal 1431H)

No comments:

Post a Comment

Warkah buat Adinda; Special Edition



Adinda-adinda yang kekanda sayangi,




Perkara paling penting yang hendak kekanda katakan ialah, kekanda amat menyayangi adinda-adinda semua. Bukan hanya sekarang tetapi sejak kekanda mempunyai seorang adinda iaitu adinda Khairi, sehinggalah kekanda mempunyai lapan orang adinda dengan kelahiran adinda Ti.




Namun, mungkin kekanda jarang menyebut perkara ini secara formal dan secara langsung, tapi yang pasti, kekanda amat menyayangi kalian berlapan.




Adinda Mohd Khairi Azhar yang dikasihi,




Memori pertama bersama adinda ialah ketika kita sekeluarga tinggal di SMK Kuala Krai. Masihkah adinda ingat setiap kali abah pulang dari sukan atau outstation, abah akan membelikan kita mainan ? Antara yang paling kekanda ingat ialah kekanda dibelikan abah sebuah kereta polis dan adinda pula menerima sebuah kepala keretapi yang masing-masing sebesar raga motorsikal. Teringat kekanda, di satu kenangan, abah dan ma duduk di sofa dan kita bermain kereta polis dan kepala keretapi itu dalam keadaan gelap semata-mata kerana nak lihat betapa terangnya lampu dan cahaya dari kedua-dua buah mainan itu..




Seingat kekanda, kita sememangnya banyak menghabiskan masa bersama sejak kecil hinggalah kekanda memasuki SMAP Kajang pada 1990. Kita main bersama, kita makan bersama dan kita bergaduh bersama. Kita bersekolah rendah pun bersama, sentiasa ada adinda 2 darjah di bawah kekanda. Tapi setelah adinda Syafiee semakin besar, adinda Khairi makin rapat dengan adinda Syafiee.. he he, kekanda tak jeles pun.. Sebab masa tu kekanda dah nak masuk Sekolah Menengah.. Ketika kekanda tingkatan 3, adinda masuk ke SMKA Falahiah, dan begitulah seterusnya. Hubungan kita baik namun hanya berjumpa ketika cuti-cuti panjang. Tetapi, semasa adinda masuk YPMKL, hubungan kita makin rapat kerana kita berada berdekatan di Kuala Lumpur. Ingatkah adinda, sekali sekala kita keluar makan bersama.




Seterusnya, setelah kita sama-sama menempuhi alam pekerjaan, hubungan kita sentiasa baik, kekanda hargai rasa hormat dalam diri adinda dan ketenteraman adinda dalam berbicara dengan kekanda. Seingat kekanda, kekanda selalu bertanyakan itu dan ini kepada adinda, kadang-kadang mungkin sampai ke perkara-perkara yang kurang penting.. Semuanya kerana kekanda cuba tunjukkan rasa 'caring' kekanda pada adinda.




Kekanda amat gembira ketika adinda ingin mendirikan rumahtangga, kerana kekanda bangga adinda akan memulakan satu era baru dalam keluarga kita, iaitu alam perkahwinan. Kekanda tidak bersama keluarga ketika pernikahan adinda di rumah pengantin perempuan, maafkan kekanda. Namun, dapat juga kekanda pulang untuk meraikan adinda ketika majlis di rumah kita di Tanah Merah. Lawak juga bila kekanda bersama abah menyambut tetamu, ramai yang mengucapkan tahniah kepada kekanda seolah-olah kekanda yang berkahwin.. he he... kekanda asyik ulang, "Eh.. buke kito, adik..". Lepas tu, bila ada yang cakap, "Guano adik dulu", kekanda jawab, "Kito ngaloh sokmo nga adik.." he he..




Sehingga sekarang pun, setelah adinda bergelar bapa kepada 2 cahayamata yang comel-comel, kekanda sentiasa rasakan betapa dalam hati kita berdua sentiasa ada perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi. Kita rapat dan kita sentiasa mengambil berat hal-hal berkaitan satu sama lain.. Banyak ketika kita berbincang perkara-perkara yang berkaitan dengan keluarga dan juga kerjaya kita. Alhamdulillah, adindaku Khairi, dengan segala nikmat kasih sayang adik beradik yang dikurniakan Allah kepada kita.




Kekanda doakan semoga adinda Khairi terus mendapat limpahan Rahmat Allah, di dunia dan di akhirat. Semoga adinda Khairi dan Kak Yani (Isteri), Fatnin, Fathi, dan ramai lagi anak-anak seterusnya (he he) sentiasa bahagia dan sentiasa dimurahkan rezeki, dan sentiasa mendapat keredhaan Allah. Amin.




Adindaku Mohd Syafiee yang dikasihi,




Kekanda teringat semasa Allahyarham Tok Ayah (Datuk sebelah Abah), berjalan perlahan merapati tadika tempat kekanda belajar dan kemudian cakap ngan kekanda, "Abe keru bulih adik doh, marila nok balik". Kekanda dapatkan kebenaran dengan cikgu untuk pulang dan terloncat-loncat berjalan dengan Tok Ayah memimpin tanganya. Macam-macam soalan kekanda tanya Tok Ayah.. "Jate ko tino", kekanda tanya.. "Ma segar dok?" kekanda tanya lagi. "Abah balik doh?".. dan macam-macam lagi sehinggalah kekanda masuk ke rumah dan ketika menyelak tirai dan sempat mengintai adinda dan ma sebelum, "Eh, tubik luar nu ore jate", he he marah Mak (Nenek).. hu hu... Abe keru keluar pergi main dengan Abe keri la... Dan bermulalah episod berebut-rebut antara kami berdua setiap kali nak tengok adinda Syafiee atau riba adinda.




Adinda mengikuti jejak kekanda Khairi memasuki SMKA Falahiah dan telah meninggalkan rekod 9A PMR yang tidak dapat dipecahkan sehingga sekarang oleh adik-beradik yang lain. You Got Class ! And you always do. Adinda Syafiee, adalah yang pertama naik kapal terbang di antara adik-beradik kita ke Sarawak, hadiah kecemerlangan tersebut. Tidak cukup dengan itu, (I have said earlier you got Class !), adinda ke Jepun semasa di UTM Jalan Semarak. Adinda sentiasa ke UTM Jalan Semarak kerana kekanda berkerja berdekatan dengan KLCC. Kekanda sentiasa ingat adinda kena makan banyak kali kerana takut gastrik. Kekanda harap adinda sentiasa jaga jadual makan adinda. Hubungan kita baik dan kekanda sentiasa hargai bagaimana adinda cuba mengawal ton suara adinda ketika bercakap dengan kekanda, semata-mata kerana adinda menghormati kekanda sebagai abang. Kekanda sentiasa sedar dan sentiasa bertolak ansur dengan adinda kerana kekanda tahu sememangnya darah adinda agak panas (keturunan tu.. he he) dan kekanda gembira bersama adinda sepanjang setahun di Kapit, Sarawak. Kekanda cukup-cukup 'happy' masa kat Sarawak di samping adinda, walaupun kita hanya berjumpa di hujung-hujung minggu atau semasa kekanda ada kursus di bandar Kapit. Kita selalu makan bersama, tidur bersama (berlainan bantal.. he he), main laptop bersama, pergi swimming bersama, main badminton bersama, dan juga sering berbual-bual pasal kerjaya kita yang mempunyai majikan yang sama iaitu Kerajaan Malaysia.




Kekanda bersyukur ke hadrat Allah, kerana satu tahun bersama adinda di Kapit adalah suatu hikmah bagi merapatkan hubungan kita, kerana seingat kekanda, kita jarang-jarang berjumpa sebelum itu. Kita hanya jumpa ketika Hari Raya Aidilfitri 2-3 tahun sebelum itu.




Adinda Syafiee, sehingga adinda pindah ke Kuching dan kini di Miri, kekanda sentiasa kagumi kesungguhan dan komited adinda pada kerja. Tidak salah lagi kenapa adinda mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 3 tahun berturut-turut, sebelum dinaikkan pangkat dan sekarang berkhidmat sebagai Ketua Unit Khas Bergerak (UKB) bagi negeri Sarawak.




Alhamdulillah, nikmat adik-beradik yang indah bersama adinda. Kekanda sentiasa doakan kesihatan dan kesejahteraan adinda walaupun jauh di seberang laut. Semoga Allah lindungi adinda dan sentiasa merahmati adinda. Kekanda juga berdoa semoga adinda dipertemukan jodoh yang solehah bagi menambahkan ahli keluarga, ipar-ipar, dan biras-biras... he he (Dulu adinda selalu suruh adinda Fa kawin dulu sebelum adinda).




Didoakan juga semoga adinda sentiasa gembira dan please senyum sokmo. .




Adindaku Nurulhuda yang dikasihi,




Sejak adinda dilahirkan, di bilik tengah (bilik adinda sekarang), kekanda sentiasa merasakan ada satu tanggungjawab besar yang perlu kekanda laksanakan buat adinda. Sebagai puteri sulong Cikgu Ripin & Kak Za, kelahiran adinda sememangnya membawa sinar dalam keluarga. Untuk pengetahuan adinda, kekanda, kekanda khairi dan kekanda syafiee sememangnya mengharapkan adinda seorang puteri sehinggalah adinda dilahirkan.. Alhamdulillah.




Sekiranya adinda ingat, kekanda selalu tanya adinda, "Ado ore gelar dop?" sejak dari adinda masuk sekolah tadika, seterusnya ke sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke Universiti. Mungkin adinda rasa 'annoying' dengan pertanyaan kekanda yang berulang kali itu, tapi sebenarnya itulah sikap 'protecting' kekanda andai sesiapa melukakan hati adinda, secara automatic dia akan melukakan hati kekanda dan juga kekanda khairi dan kekanda Syafiee..




Adinda ingat tak, dulu masa kita kecik-kecik, kita 4 orang ada buat "meeting" dalam bilik tengah ? Bersama kita ada juga adinda Fa (Arwah) yang masih kecil tapi menangis tak nak ditinggalkan di luar bilik. Masa tu rasanya kali pertama kita cakap secara serius (hu hu...) betapa pentingnya kita menjaga hubungan kita adik-beradik, mesti sentiasa menyenangkan Abah & Ma, serta cuba sedaya-upaya jangan buat Abah & Ma susah hati (he he he).. Tergelak juga mengingatkan keadaan masa tu sebab rasanya kekanda baru Tingkatan 1 atau 2, masih mentah untuk "mempengerusikan meeting"... he he.... Kekanda masih ingat Kak Long buat muka, bila kita orang cakap semua yang Ma buat, Kak Long kena tolong.. he he... nakal kan, kekanda-kekanda Kak Long menyakat... hu hu..




Kekanda agak gembira Kak Long bersekolah menengah dekat dengan rumah, kerana bimbang dengan keselamatan Kak Long sekiranya jauh dari rumah. Sama macam kekanda, saiz badan semasa lingkungan umur tersebut agak kecil berbanding rakan sebaya yang lain. Adinda membuktikan kejayaan cemerlang sehingga menjejakkan kaki ke UiTM Shah Alam. Kekanda masih ingat, kekanda selalu menunggang motorsikal dari Kajang hingga ke Shah Alam untuk jumpa Kak Long, bawak Kak Long makan-makan, beli barang-barang dan sebagainya. Masa awal-awal kat UiTM, Kak Long cakap takut nak keluar sendiri dengan kawan-kawan, hinggalah semester kedua. Kekanda ingat, kekanda bawak Kak Long ke Subang Jaya sebab Kak Long nak beli handset. He he... Bila teringat tu... dan teringat Abah.... fuh, Alhamdulillah, semuanya selamat. Kak Long nak tahu, sampai hal-ehwal-wanita pernah kekanda tanya Ma, takut-takut Ma tak ajar.. he he memandai jugak kekanda ni... ye lah, adik perempuan pertama la katakan...




Adinda memang baik dengan kekanda dan kekanda-kekanda yang lain. Kami rasakan adinda ibarat 'buffer' dan pelengkap kepada kekurangan atau perselisihan antara kami. Kak Long mampu menjadi penenang ketika ada masalah, dan menjadi penghubung apabila sesuatu perlu disampaikan dengan cara yang lembut. He he... Kak Long pun boleh jadi 'SPY' yang boleh dipercayai... hu hu... tapi untuk tujuan yang baik....




Bagi adinda-adinda kak long, sememangnya mereka lebih rapat dengan Kak Long berbanding kekanda, mungkin disebabkan faktor jarak umur dan jarang-jarang berjumpa.




Alhamdulillah, kehadiran adinda sebagai anak ke-4. Kekanda doakan, adinda sentiasa ceria dan sentiasa tabah. Semoga Allah tunaikan segala impian adinda samada dunia atau akhirat. Didoakan juga adinda bertemu jodoh yang Soleh yang sesuai dengan adinda. Amin.


(Ingat tak kami bertiga selalu sakat Kak Long, sapa nak nikah nga Kak Long kena interview dengan kami... he he he... Sebab sayang ko Kak Long la).




Adindaku Mohd Fadhiri bin Rakiah,















[pause]























" Wahai abe keru yang disayangi, bila mahu di sambung warkah ini..hehe..dah lama pause tu.;) " - kaklong




















LA TAHZAN.....

(JANGANLAH BERSEDIH)










" Janganlah kamu bersikap

lemah, dan janganlah kamu

bersedih hati,padahal kamulah

orang-orang yang tinggi

darjatnya, jika kamu orang-

orang beriman"

( Surah Al-Imran Ayat 139 )

" Allah tidak akan membebani

seseorang itu melainkan dengan

kesanggupannya "

(Surah Al-Baqarah Ayat 286)

".......dan janganlah kamu

berputus asa pada Rahmah

Allah. Sesungguhnya tiada

berputus asa dari Rahmah Allah

melainkan kaum yang kafir "

(Surah Yusuf Ayat 12)

" Tiada apapun yang menimpa

seseorang mukmin berupa

bencana dan menderita

kesusahan, kecuali semua itu

menjadi sebab untuk

menghapuskan dosa-dosanya "

(Hadis Bukhari dan Muslim)